Jumaat, 13 Ogos 2010

AMIL ZAKAT PERLU BERTANGGUNGJAWAB WALAU ADA HAK


Soalan: Adakah salah sekiranya amil menggunakan wang zakat? Bukankah wang zakat khusus untuk orang fakir dan miskin?

Jawapan: Memang ada yang terkeliru mengenai kedudukan amil dalam pengurusan zakat. Daripada sudut hukum, amil zakat memang berhak kepada harta zakat. Ini kerana, sudah disebut secara terang bahawa amil memang satu daripada lapan asnaf zakat. Ia adalah hukum yang sudah qatie’ (putus) dan bukannya bersifat ijtihad atau khilaf.

Allah SWT telah menyebut amil sebagai asnaf yang muqaddam (terawal) di samping fakir, miskin dan mualaf (at-Taubah: 60). Nabi Muhammad SAW juga menyatakan, hendaklah dilayani amil (petugas zakat) itu dengan baik (mafhum hadis riwayat Muslim). Ini menunjukkan, status amil adalah penting dalam pengurusan zakat. Kompetensi amil mempengaruhi keseluruhan perjalanan operasi zakat.

Dalam sejarah, pada zaman Umar al-Khattab r.a, baginda telah menyusun pentadbiran negara dengan baik dan melantik amil secara bergaji tetap. Bahkan diwujudkan amil khas yang bertugas menaksir harta umat Islam. Umar juga mengemaskini Baitul Mal, sebagai gudang pengumpulan harta termasuklah harta zakat.